Laporan Ekspedisi ke Pulau Pangkor Tahun 2006 (13-16 Aug 2006)

Program National Pangkor Island Expedition (NAPIE) 2006 adalah hasil kerjasama Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Pusat Kokurikulum Jabatan Pelajaran Negeri Perak. Program ini dijalankan pada 13 hingga 16 Ogos 2006 di Pantai Dalam Resort, Pulau Pangkor. Sebanyak 25 buah sekolah daripada 26 buah sekolah dalam rangkaian Kelab Unesco-ASPNet telah terlibat dalam perkhemahan ini. Sebuah sekolah iaitu Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Perlis tidak dapat menghadiri perkhemahan tahunan ini atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Setiap sekolah diwakili oleh 3 orang pelajar dan seorang guru pengiring. Tujuan perkhemahan kali ini adalah untuk mengkaji impak aktiviti manusia dan faktor alam semulajadi terhadap kehidupan flora dan fauna persisiran pantai serta kesan-kesannya kepada alam sekitar dan komuniti setempat. Pelbagai aktiviti telah dijalankan seperti berakit, memanjat gunung, kajian hakisan pantai, kajian sejarah dan kajian tempat pembuangan sampah. Di akhir setiap aktiviti pelajar akan membuat laporan aktiviti bagi tujuan pembentangan dan dokumentasi.

OBJEKTIF

  1. Memberikan pendedahan dan pengetahuan tentang alam sekitar dan kepentingannya;
  2. Mengenalpasti habitat dan kepelbagaian flora dan fauna di pulau;
  3. Memahami kegiatan sosial dan ekonomi di Pulau Pangkor;
  4. Mengkaji impak kegiatan manusia dan alam sekitar terhadap ekologi pulau;
  5. Mengkaji dan memerhati kedudukan bintang berdasarkan peta bintang; dan
  6. Memupuk kesedaran pelajar akan kepentingan alam sekitar terhadap ekosistem.

AKTIVITI 1: BEBASKAN DAKU (14 OGOS 2006)

Aktiviti ini adalah bertujuan untuk menguji kreativiti peserta dalam menyelesaikan masalah. Ini merupakan aktiviti secara berpasangan di mana setiap pasangan dibekalkan dengan dua utas tali. Mereka dikehendaki mengikat tali di kedua-dua pergelangan tangan dalam keadaan tali bersilang. Kemudian, setiap pasangan perlu mencuba untuk melepaskan diri tanpa membuka atau memutuskan ikatan tali. Mana-mana pasangan yang berjaya melepaskan diri dikehendaki mengangkat tangan dan diasingkan daripada pasangan lain.

Selepas itu, pasangan tersebut diminta mendemonstrasikan cara mereka melepaskan diri sebelum itu. Faedah yang dapat diterapkan dalam diri pelajar ialah berfikir secara kreatif serta memupuk sikap toleransi antara satu sama lain juga sikap tidak mudah berputus asa.

AKTIVITI 2 : BIRD WATCHING (14 OGOS 2006)

Aktiviti memerhatikan burung, ‘bird watching’ adalah bertujuan untuk mendedahkan para peserta tentang jenis-jenis burung yang terdapat di resort dan kawasan sekitarnya. Pada permulaan program ini, para peserta diberitahu tentang cara penggunaan teropong. En. Puan Chong Leong iaitu fasilitator program ini telah memberi peluang untuk menggunakan teropong yang telah dibekalkan. Bagi sesetengah pelajar, aktiviti ini merupakan pengalaman pertama bagi mereka. Antara jenis-jenis burung yang dapat dilihat adalah burung enggang dan gagak. Melalui aktiviti ini, para peserta dapat meningkatkan pengetahuan tentang jenis- jenis burung yang wujud di dunia ini. Di samping itu, para pelajar dapat menghayati anugerah alam yang sangat indah jika dihargai sepenuhnya.

AKTIVITI 3: BERAKIT (14 OGOS 2006)

Aktiviti berakit ini bertujuan untuk memupuk semangat kerjasama antara ahli kumpulan dan menguji kesabaran untuk mencapai matlamat. Selain itu, aktiviti ini juga menguji daya tahan mental dan fizikal pelajar, pendedahan dalam kemahiran membuat rakit dan keselamatan di dalam air terutamanya di laut. Program ini diselia oleh para jurulatih dari Pusat Kokurikulum Pangkor yang berpengalaman dalam aktiviti sukan dalam air. Para pelajar diajar untuk memakai Buoyancy Aid (BA) supaya dapat menjamin keselamatan dalam air. Seterusnya para pelajar diajar cara mengikat pelampung pada rakit. Demonstrasi mengikat pelampung ditunjukkan oleh jurulatih yang hadir dan dipraktikkan oleh pelajar. Sebaik sahaja  rakit siap diikat, para pelajar turut diajar cara untuk memulakan berakit. Langkah pertama, menolak rakit kedalam air dan duduk di atas rakit dengan cara melompat naik sebagai langkah kedua. Kemudian, para pelajar mula berdayung ke Teluk Cina. Hubungan sesama pelajar dapat dieratkan. Pengetahuan dalam berakit dan cara membuat rakit dapat diperoleh.

AKTIVITI 4 : JUNGLE TREKKING (14 OGOS 2006)

Aktiviti ini melibatkan pelajar dalam mendaki bukit. Peserta secara beramai-ramai mendaki mengikut fasilitator, En. Zuhuri Abd Rashid dan En. Puan Chong Leong. Ketika berada di atas, peserta diberi sedikit taklimat oleh En. Puan tentang burung. Antaranya kajian terhadap burung dari segi memasang mist-net, memasang perangkap dan cara-cara untuk melepaskan burung yang terperangkap.

Bukan itu sahaja, malah En. Zuhri turut memperkenalkan kepada peserta tentang beberapa jenis pokok yang berkualiti dan mempunyai nilai komersial seperti Tongkat Ali. Cara-cara untuk mengenal pokok tersebut adalah pokok yang berbatang lurus dan berdaun serat. Perserta juga dapat mempelajari kepelbagaian flora di situ. Selepas 1 jam 30 minit, peserta telah selamat menuruni Hutan Simpan Sg. Pinang yang cerun dan berbukit. Walaupun penat, pelajar dapat mempraktikkan sifat-sifat yang baik seperti bekerjasama, tidak berputus asa serta mempamerkan semangat juang yang tinggi.

AKTIVITI 5: MANUSIA DAN PERSEKITARAN (14 0G0S 2006)

Tujuan aktiviti ini dijalankan adalah untuk memberi kesedaran kepada peserta tentang kepentingan alam sekitar. Selain itu, peserta juga berpeluang mengkaji interaksi antara manusia dan alam sekitar. Dr. Azizam telah mengarahkan  peserta untuk menemu ramah penduduk tempatan tentang cara hidup mereka iaitu aktiviti sosial dan ekonomi yang dijalankan. Kemudian peserta dikehendaki mengumpul sampah-sarap yang terdapat di persisiran pantai Teluk Nipah dan mengelaskannya mengikut keupayaan untuk lupus.

Untuk aktiviti menemu ramah penduduk, peserta telah dibahagikan kepada lima kumpulan. Antara penduduk tempatan yang ditemu-ramah adalah peniaga dan pemandu pelancong. Mengikut hasil perbualan tersebut, peserta dapat memahami pelbagai aktiviti sosial yang sering dilakukan di situ seperti hari keluarga, sukaneka, memancing dan perkelahan. Mereka juga mendapat keuntungan dari sumber alam yang terdapat di persekitaran mereka seperti matahari, laut, hutan, angin dan kehidupan laut yang sesuai untuk aktiviti perlancongan.

Aktiviti ekonomi lain yang dijalankan ialah perikanan, perkhidmatan dan perniagaan.Terdapat kesan positif dan implikasi yang boleh didapati akibat kegiatan manusia terhadap alam sekitar. Antara kesan positif yang dapat dilihat ialah infrastruktur yang terdapat di kawasan ini semakin bertambah berbanding dahulu. Penduduk di sini juga dapat meningkatkan taraf hidup mereka. Selain dari itu, keindahan dan kedamaian pulau ini telah menjadi daya tarikan pelancong. Bagaimanapun terdapat kesan negatif seperti pembangunan yang terbengkalai, vandalisme, pencemaran laut, pantai dan bunyi serta tahap keselamatan yang rendah. Kesimpulannya, terdapat pelbagai faedah yang boleh didapati dari aktiviti ini seperti kesedaran  tentang kepentingan menghargai alam sekitar, keprihatinan atau tanggungjawab dalam menjaga alam sekitar serta cara mengekalkan hasil hutan seperti kitar semula.

Ketika di sana, perserta diberikan taklimat oleh Prof. Zaki tentang setiap alat yang harus  digunakan. Antara peralatannya ialah Sunto Tendom yang digunakan untuk mengetahui arah laut dan kecerunan laut. Sling psychrometer pula digunakan untuk menyukat suhu dan menguji kelembapan udara, wind meter pula untuk menguji kelajuan angin, GPS untuk mengetahui kedudukan sesuatu objek, Laser Range Finder pula untuk mengetahui jarak sesuatu tempat dalam lingkungan satu kilometer dan  pita pengukur untuk pengukur jarak dekat.

Tujuan aktiviti ini adalah untuk mengetahui profil pantai secara lebih mendalam dan ekosistemnya. Mula-mula pelajar diminta mengenalpasti jarak air terpasang pada hari sebelumnya kemudian jarak air pasang tertinggi pula. Jarak ini diukur dari gigi air menggunakan pita pengukur. Kami juga telah menyelidik jenis pantai iaitu  pasir kasar dan pasir halus. Aktiviti ini dilakukan dengan menyentuh permukaan pasir. Kecerunan pantai pula diuji dengan menggunakan Sunto Tendom. Seorang pelajar diminta untuk berada di gigi air manakala seorang pelajar lagi berada di titik air laut pasang semalam sambil memegang alat tersebut. Arah pantai diuji dengan alat ini juga. Jenis vegetasi pula memperlihat pokok-pokok besar daripada jenis Mempari.

Kajian ini juga dilakukan semula di kawasan kajian yang berbeza dengan menggunakan kaedah yang sama. Hasil daripada kajian ini kami mendapati bahawa infrastruktur di kawasan kajian mempengaruhi profil pantai. Kelebihannya, infrastruktur ini menghalang ombak daripada melebihi kawasan pantai dan memasuki jalan raya. Keburukannya pula, ia menjejaskan ekosistem. Kami juga mendapati perbezaan pukulan ombak dipengaruhi oleh kecerunan pantai. Kawasan yang mempunyai kecerunan yang tinggi, pukulan ombaknya adalah lebih kuat manakala kawasan yang mempunyai kecerunan rendah, pukulan ombaknya lebih rendah.

AKTIVITI 6 : STAR GAZING (14 OGOS 2006)

Jam 10.00-11.00 malam

Aktiviti ini tidak dapat dijalankan secara praktikal akibat daripada keadaan cuaca yang tidak mengizinkan. Namun pelajar diberi pendekatan secara teori oleh fasilitator tentang aktiviti ini. Beliau telah menunjukkan cara penggunaan dan fungsi teleskop yang berharga lebih RM25,000.00. Beliau juga menerangkan serba sedikit tentang star-chart merangkumi buruj-buruj yang terdapat di angkasa. Peserta diberi peluang untuk menggunakan teleskop dan juga diberi ilmu tentang kegunaan bintang dalam kehidupan seperti petunjuk arah, pertanian dan menentukan waktu dan musim.

AKTIVITI 7: MOUNTAIN HIKING (15 OGOS 2006)

Aktiviti seterusnya ialah Mountain Hiking. Sebelum itu, pegawai Pusat Kokurikulum terlebih dahulu memberi penerangan tentang cara-cara untuk mendaki. Jungle Trekking telah dilakukan di hutan simpan sg. Pinang yang terletak di selatan Pulau Pangkor. Hutan ini suatu ketika dahulu pernah menjadi pusat pembalakan. Tujuan jungle trekking ini dilakukan ialah untuk mengkaji tentang spesies-spesies tumbuhan yang terdapat di hutan tersebut. Fasilitator menerangkan serba sedikit tentang jenis-jenis tumbuhan serta kegunaannya terhadap kehidupan seharian manusia . Perjalanan  bermula dengan mendaki lurah bukit yang agak curam. Setibanya di puncak bukit, Dr. Mohd Zaki bin Hamzah telah memberi penerangan tentang betapa kayanya isi hutan kita dengan flora dan fauna. Penerangan juga diberikan mengenai tumbuh-tumbuhan seperti pokok Keruing, pepanjat berkayu (Liana), pokok Karas, pokok Lemba dan sebagainya.

Disebabkan lantai hutan mempunyai jenis tanah berpasir, pokok-pokok yang tumbuh bersaiz kecil dan kurang padat. Kawasan hutan yang terbuka menjadikan pokok-pokok seperti pokok bertam dan pepanjat. Setelah didedahkan dengan persekitaran hutan, peserta meneruskan sesi kedua dengan menamatkan pendakian gunung melalui jalan pulang yang lebih mencabar mental dan fizikal. Daripada program ini, peserta sedar bahawa alam sekitar yang dikurniakan tuhan kepada manusia adalah amat berharga. Ini meningkatkan lagi rasa cinta  terhadap hutan dan alam sekitar.

Melalui aktiviti ini, peserta memperolehi banyak manfaat. Antaranya ialah semangat bekerjasama dalam kumpulan. Buktinya ialah ketika mendaki lurah bukit yang curam, mereka telah saling bantu membantu antara satu sama lain. Seterusnya aktiviti ini meningkatkan ketahanan badan dan stamina ketika mengharungi cabaran yang diberi dan yang paling penting ialah peserta dapat menimba ilmu pengetahuan tentang spesies tumbuhan yang terdapat di hutan Pulau Pangkor.

AKTIVITI 8: BERKAYAK (15 OGOS 2006)

Aktiviti ini bertujuan meningkatkan semangat kerjasama dan kesepakatan antara satu sama lain. Program tersebut juga memberikan peserta pengalaman untuk berkayak di laut yang terbentang luas. Sebelum melakukan aktiviti ini, peserta  telah diberikan taklimat oleh pegawai Pusat Kokurikulum Pangkor tentang cara-cara berkayak dan menjalani sesi ‘water-confident’ sekali gus diberikan penerangan tentang penggunaan Bouyancy Aid. Kemudian, mereka diarahkan untuk mencari pasangan masing-masing untuk memulakan aktiviti tersebut. Pelajar berkayak selama lebih kurang 30 minit untuk sampai ke destinasi yang ditujui. Aktiviti ini sangat mencabar kerana peserta berpeluang berkayak di kawasan laut dalam yang berombak besar ketika itu secara berpasangan tanpa pengalaman yang mencukupi. Akhir sekali, aktiviti ini secara tidak langsung meningkatkan daya ketahanan fizikal dan mental sekali gus memberikan pengalaman yang berharga.

AKTIVITI 9 : MEMASAK BUAH MELAKA (15 OGOS 2006)

Aktiviti ini diadakan untuk melihat kemahiran ’survival’ peserta dan kerjasama kumpulan. Setiap kumpulan dikehendaki memasang api bunsen dan membuat kuih buah melaka. Mereka perlu mendidihkan air sebelum memasukkan adunan kuih berkenaan. Seterusnya, kuih yang telah dimasak dimakan bersama-sama.

AKTIVITI 10: MELAWAT TAPAK PELUPUSAN SAMPAH (15 OGOS 2006)

Pada sebelah petang, kesemua pelajar dengan mengikut kumpulan, telah dibawa ke Teluk Cempaka, Kg. Sungai Pinang Kecil dan berpeluang mengunjungi pusat perlupusan sampah bagi seluruh kawasan Pulau Pangkor. Pusat perlupusan sampah tersebut mengandungi mesin pelupus sampah (incinerator). Sampah sarap tersebut telah diasingkan mengikut kategori-kategori seperti yang boleh dikitar semula. Dengan menggunakan kaedah pemerhatian, para pelajar telah diberi penerangan oleh En. Zuhuri. Menurutnya, seluruh kawasan yang luas terbentang dan mengadap ke arah laut itu hanya merupakan bilangan sampah yang dihasilkan oleh para penduduk sekitar Pulau Pangkor.

Tujuan utama mereka dibawa ke situ adalah untuk memerhati dan sedar akan kesan perlupusan sampah yang dihasilkan oleh para penduduk. Sampah sarap tersebut akan menghasilkan gas metana yang boleh digunakan untuk menjana kuasa elektrik. Menurut fakta yang diperolehi oleh En. Zuhuri, andaikan setiap hari salah seorang penduduk di bumi ini membuang satu helai lampin bayi, jadi setiap hari bilangan lampin dibuang diseluruh dunia mampu menyamai tujuh kali perjalanan ulang alik dari bumi ke bulan.

Antara kesan yang dihasilkan oleh sampah sarap ialah pemakanan ruang kawasan. Peserta dengan sendirinya telah melihat kawasan seluas 5 padang bola sepak telah digunakan untuk lokasi  pelupusan sampah sarap.Menurut En. Zuhri lagi selepas 10 tahun, kawasan itu akan ditimbus untuk ditebus gunakan sebagai kawasan petempatan. Kerajaan  juga terpaksa membazirkan beribu-ribu ringgit setiap tahun untuk tujuan melupuskan sampah tersebut.Selain itu,lokasi perlupusan sampah juga tidak logik seperti yang terdapat di Teluk Cempaka yang kebetulan menghadap ke arah laut. Menurut Dr. Ahmad Zaki, toksik-toksik yang dihasilkan oleh sampah itu akan diserap ke dalam tanah dan lama- kelamaan akan menyerap ke arah tanah yang berhampiran laut dan secara tidak langsung akan menjejaskan kehidupan laut.

Melalui aktiviti ini, pelajar dapat menyedari akan impak yang dihasilkan melalui pelupusan sampah manusia sejagat. Oleh itu, En. Zuhuri juga telah menasihati peserta agar memupuk kesedaran untuk mencuba sedaya upaya mengurangkan bilangan sampah. Peserta juga terkejut akan bilangan sampah yang dihasilkan oleh mereka setiap hari. Melalui aktiviti ini, mereka sedar akan kepentingan untuk mengubah sikap masing-masing dan lebih menyayangi dan melindungi alam sekitar kerana sebagai makhluk ciptaan Tuhan yang mempunyai akal minda yang tertinggi, mereka terpaksa bergantung kepada alam sekitar di sekeliling. Keharmonian antara manusia dengan alam sekeliling amat penting. Seterusnya, peserta juga menjadi lebih peka terhadap isu-isu alam sekitar walaupun usaha mereka amat kecil, namun jika semua berganding bahu maka usaha dan tenaga yang dihasilkan akan menampakkan kesan yang nyata dan isu-isu pengeksplotasian sumber alam sekeliling dapat ditangani.

AKTIVITI 11: LAWATAN KE KOTA BELANDA (15 OGOS 2006)

Aktiviti melawat Kota Belanda di Teluk Gedong merupakan aktiviti terakhir yang dijalankan Tujuan lawatan ini adalah untuk meninjau satu-satunya kawasan bersejarah yang terdapat di Pulau Pangkor iaitu sejarah Kota Belanda dan Batu Bersurat dan meningkatkan pengetahuan serta mengkaji peninggalan sejarah ini. Setiap kumpulan dibahagikan kepada dua dan setiap kumpulan kecil mempunyai tugasan masing-masing. Kumpulan pertama mengkaji sekitar kawasan peninggalan kota. Manakala kumpulan kedua bergerak ke Batu Bersurat yang terletak 100 meter dari kota itu. Kumpulan ini mengkaji maksud yang tersirat di sebalik lakaran yang terdapat di batu tersebut. Kumpulan ini juga telah membuat sedikit temuramah terhadap penduduk setempat. Penduduk setempat telah menceritakan sedikit sejarah yang mereka ketahui daripada keturunan mereka.

Peserta juga berjumpa dengan seorang mak cik yang tidak mahu dikenali. Beliau telah menceritakan mengenai Batu Bersurat kepada kami. Mengikut katanya, Batu Bersurat menunjukkan sejarah orang Belanda yang datang ke sini. Batu tersebut mengandungi gambar harimau yang sedang memegang gaun anak orang Belanda. Mengikut kisah yang sebenar, anak orang Belanda tersebut telah diculik dan bagi menutup malunya, orang Belanda itu telah memutar belitkan cerita lalu ditulis pada batu tersebut. Terdapat beberapa lukisan lain yang turut dilukis yang bermaksud ‘ I was here”, “ VOC” iaitu satu syarikat perkapalan, ‘$ ” bermakna ganjaran yang akan diberikan jika menjumpai anak orang Belanda tersebut.

Seterusnya, pelajar telah berjumpa dengan Tok Pawi. Beliau telah menceritakan serba sedikit mengenai Kota Belanda. Mengikut kata orang yang membuka teluk ini, Kota Belanda sudah ada pada waktu itu. Kulup Mentuk adalah orang yang telah memberi nama Teluk Gedong kepada teluk ini. Dia berasal dari Bandar Tua. Ketika zaman pemerintahan Sultan Jaafar Syah, sultan Perak pertama, perigi itu ada kaitan dengan terowong. Selain itu, kami juga diberitahu bahawa tempat ini juga dikenali sebagai ‘ Dinding Fort’. Pelbagai maklumat yang diperolehi adalah sangat berguna. Pelajar juga mengetahui bahawa sesungguhnya, sejarah lisan adalah lebih efektif daripada sejarah yang ditulis kerana sejarah yang ditulis adalah hasil tulisan pihak yang menang. Oleh itu, banyak sejarah boleh diputar belitkan.

Pada akhir sesi ini, En. Zuhuri telah memberi sedikit taklimat dan soal jawab kepada semua peserta. Melalui aktiviti ini para peserta telah banyak mencungkil rahsia disebalik Kota Belanda. Para peserta juga telah memahami maksud sebenar kedatangan penjajah ke negara ini. Hal ini telah menimbulkan lagi semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.

AKTIVITI 12 : PEMBENTANGAN KUMPULAN (16 OGOS 2006)

Aktiviti terakhir yang diadakan adalah pembentangan oleh setiap kumpulan tentang segala yang telah mereka pelajari sepanjang program ini. Setiap kumpulan membentangkan hasil kajian dan pengalaman masing-masing menggunakan Microsoft ‘Power Point’ di mana perbincangan telah diadakan pada malam sebelumnya. Semangat kerjasama kumpulan yang tinggi dipamerkan oleh setiap kumpulan dan mereka sanggup tidur pada jam 2 pagi semata-mata untuk menyiapkan kerja tersebut.

PENUTUP

Kesimpulannya, semua peserta telah mempelajari pelbagai perkara baru dan mendapat pengalaman yang sangat berharga sepanjang program tersebut. Para pelajar juga telah mendapat kesedaran tentang pentingnya ekosistem pulau kepada manusia secara amnya. Mereka juga berasa gembira dan ingin mengambil bahagian lagi di dalam program-program UNESCO-ASPNet yang akan dianjurkan pada masa hadapan. Pelajar dan guru menaiki feri meninggalkan Teluk Dalam Resort, Pulau Pangkor pada jam satu petang untuk pulang ke  destinasi masing-masing.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: